Kesihatan, Prebiotik dan Probiotik.

Probiotik.



Bakteria secara semulajadi mendiami organ usus dan perut secara komensal. Kebanyakannya di usus besar dimana bakteria hidup secara simbiosis dan menyumbang kepada kesihatan hostnya.

Bakteria atau mikroorganisma hidup dalam usus yang menyumbang kepada kebaikan dan kesihatan kepada hostnya dipanggil sebagai probiotik.

Ada lebih kurang 500 jenis bakteria dalam usus sistem usus. Ada kajian menyatakan hampir 60% dari berat najis adalah dari kumpulan bakteria.

Antara spesies bakteria yang dikesan adalah:

Dalam perut: Laktobasilus, Streptococcus, Yis.

Dalam usus kecil: Laktobasilus, Bakteria bifido, Streptococcus, Bakteroides, Fusobakteria.

Dalam usus besar: Bakteria bifido, Laktobasilus, Streptococcus, Fusobakteria, Bakteroides, Enterobacteriaceae, Clostridia, Yis.


Simbiosis bermaksud hostnya memberi sumber makanan dan bakteria membantu hostnya seperti menghadamkan makanan yang susah dihadam, membantu penyerapan garam galian dan unsur surih, membantu badan menyingkir bahan buangan (toksin), menyediakan persekitaran dalam usus supaya tidak sesuai untuk bakteria penyakit (seperti Clostridium difficile, Escherichia coli), meliputi dinding usus supaya tidak bocor kepada bahan-bahan yang tidak sepatutnya masuk kedalam darah, sintesis vitamin seperti vitamin B dan K dan menambah imuniti dan kesihatan host.

Bakteria usus dan probiotik mempengaruhi kesihatan hostnya secara menyeluruh lebih dari kesan ditempatnya di dalam sistem gastro usus. Kesimbangan optimum bakteria baik probiotik yang banyak dalam usus menjadi benteng perlindungan dari serangan bakteria membawa penyakit.

Koloni probiotik tidak kekal hidup dalam usus dan perlu tambah atau diransang supaya sentiasa berkembang dan aktif dengan cara mengambil makanan kaya dengan bakteria seperti yoghurt, mengambil produk mengandungi probiotik atau makanan dan supplement kaya prebiotik.

Majoriti bakteria yang berguna kepada hostnya adalah dalam kumpulan Lactobacillus dan Bifidobacterium dan suplement probiotik dalam pasaran biasanya mengandungi campuran bakteria tersebut.

Perkembangan dan metabolism mikroflora probiotik bergantung kepada bahan atau makanan yang sampai kepada mereka, iaitu dari apa yang dimakan oleh host. Dengan mengambil makanan atau nutrisi tertentu (prebiotik), komposisi bakteria probiotik yang baik dapat dikekalkan.

Kontraindikasi pemberian supplement probiotik biasanya adalah pada kanak-kanak kurang immuniti dan yang menggunakan intravenous catheters kerana jangkitan yang serious boleh berlaku.

Bakteria probiotik adalah bakteria hidup dan sensitif kepada suhu, kelembapan, oksigen dan asid. Adalah penting untuk mengekalkan ia aktif semasa ia diproses dan disimpan. Selepas dimakan ia juga terpaksa melalui keadaan berasid semasa dalam perjalanan ke usus besar.

Bakteria probiotik dalam satu produk cuma membantu jika ia hidup dan selalunya ia boleh mati semasa masih dalam kotaknya apabila tidak disempan dengan betul atau tidak disejukkan atau apabila terkena asid dalam perut sebelum sampai ke usus.

Probiotik adalah produk selamat kerana ia mengandungi bakteria baik sama seperti kehidupan usus kita dan sesuai diambil semua peringkat umur. Malah, ada pakar menyarankan individu yang mahu berkunjung ke negara lain supaya makan probiotik yang dihasilkan di negara tersebut bagi mengelak cirit-birit di sana.